Sunday, May 8, 2011

PASAR SIBU

PASAR SIBU


Di bandar inilah Swakey Mey dilahirkan. Setiap kali balik kampung pasti tidak akan lupa untuk melilau di Pasar Sibu mencari makanan-makanan kegemaran yang tidak akan dapat ditemui di Semenanjung Malaysia.

Berbilang kaum dan agama menjalankan perniagaan di pasar ini dan sebetulnya Sarawak merupakan contoh 1 Malaysia.
Pelbagai kaum hidup dalam harmoni dan bebas mengamalkan apa juga amalan dan agama tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak terhadap kebebasan tersebut.
Keharmonian inilah yang jelas kelihatan sejak dari kecil lagi sehinggalah sekarang.
Barangan yang dijual di Pasar Sibu sememangnya unik dan kebanyakannya adalah hasil dari tanaman petani-petani sendiri yang berbakti kepada tanah dan hasilnya dijual sebagai sumber pendapatan.

Apabila sampai di Pasar tersebut sudah pastinya akan dicari ulam-ulaman yang menjadi idaman saya seperti pucuk paku uban, bunga kunyit, pucuk pokok "embang" (sejenis buah yang hanya terdapat di Sarawak berwarna coklat bersaiz besar dan rasanya seperti buah mangga)

Inilah rupa bunga kunyit yang digemari sebagai ulam. Rasanya wangi dan sungguh banyak khasiatnya. Selain daripada itu terdapat beberapa jenis buah yang tidak akan dapat dijumpai di Semenanjung Malaysia seperti buah Engkalak, buah Dabai, buah Pelajo, buah Engkabang, buah Pulo dan sebagainya. Masing-masing mempunyai rasa dan khasiat tersendiri.

Ini adalah buah Engkalak dan sering dimakan bersama nasi panas. Rasanya lemak dan agak unik. Hanya perlu rendam sekejap dengan air sederhana panas dan ditambah garam.

Buah ini sedia dimakan apabila telah cukup masak. Warna merah jambu tersebut menandakan ianya sudah boleh dimakan.

Sekiranya ianya masih berwarna hijau, jangan sesekali memakannya kerana ianya berasa "pedar" dan memijarkan mulut pemakannya.

Buah Engkalak ini boleh dikatakan buah bermusim dan hanya pada masa-masa tertentu akan kelihatan dijual di Pasar Sibu.

Mungkiin ramai yang mengetahui buah ini. Inilah buah Terung Asam yang begitu banyak cara memakannya. Paling digemari bila terung ini dimasak air bersama udang segar.

Rasanya masam-masam dan sesuai sebagai pembuka selera. Terung ini juga boleh dimasak singgang dengan ikan atau dibakar dan dibuat buat sambal belacan. Pasti terangkat dan bertambah selera makan.

Ini pula buah Engkabang dan biji buah Pulo yang telah direbus. Buah Engkabang (kiri) sedap dimakan sebagai ulam bersama sambal belacan. Rasanya sedap, unik dan tersendiri.

Manakala biji buah Pulo (kanan) pula rasanya seperti kekacang setelah di rebus. Enak dimakan begitu sahaja dan buah Pulo ini rupanya seperti buah sukun tetapi mempunyai biji yang besar.

Gambar di atas bukannya jagung tetapi sejenis tanaman yang dipanggil "Tebu Susu". Isinya putih gebu dan sering dimasak air. Boleh juga dibakar dan kemudian dimakan panas-panas begitu sahaja.

Di sebelah kiri ini ialah sejenis cendawan atau di kenali di Sibu sebagai sebagai Kulat Telinga Kera. Cendawan ini memang terdapat di Semenanjung tetapi ianya telah dikeringkan dan tidak sesegar sebagaimana terdapat di Sarawak.

Cendawan ini memang terkenal dimasak bersama pelbagai jenis sayuran seperti sayur midin, jagung (baby corn), sayur pucuk manis dan sebagainya. Cendawan ini juga sering dicampur dalam masakan unik Sarawak semasa bulan puasa iaitu Bubur Pedas.
Labu Air, itulah nama yang dipanggil oleh penduduk Sibu untuk buah ini. Bentuknya seperti labu dan isinya lembut keputihan. Jarang dan mungkin tidak dijumpai di sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia. Labu jenis ini sesuai dimasak air dan juga dan masak lemak.

Ini pula ialah sejenis mentimun dan dikenali dengan "Timun Iban" di kalangan enduduk setempat. Ianya dimasak air dan sesuai juga dimakan begitu sahaja bersama sambal belacan.

Mentimun jenis ini selalunya dijual oleh masyarakat pribumi di Sarawak dan senang diperolehi di pasar-pasar di Sarawak. Mentimun jenis ini juga terdapat di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia


Lihatlah betapa meriahnya Pasar Sibu dengan pelbagai jenis sayuran yang ditanam sendiri oleh para petani. Berkunjung ke Pasar Sibu tidak akan jemu malahan selesa kerana persekitaranya bersih dan kering.

Kebersihan di Pasar Sibu sememangnya menjadi perkara yang diutamakan demi keselesaan para peniaga dan pengunjungnya.

Apabila anda berada di Sibu, jangan lupa berkunjung ke Pasar Sibu dan lihatlah sendiri keunikannya. Banyak lagi makanan unik dan tersendiri yang hendak ditonjolkan kepada pembaca. Insyaallah di coretan akan datang akan disiarkan.

Sekian sahaja buat kali ini dan sehingga bertemu kembali di masa akan datang.

Ikhlas,

Swakey Mey
09.05.2011

Friday, May 6, 2011

IKAN MASIN


Kalau sebut sahaja ikan masin, pasti kembang air liur. Memang tidak dapat dinafikan betapa berseleranya kalau makan nasi gorneg dengan ikan masin pada pagi hari. Sungguh menyelerakan, tambah lagi kalau makan dengan sayur masak air atau masak lemak. Fuh! pasti bertambah. Tak perlu ada lauk lain, cukuplah kalau ada ikan masin dengan sayur atau ulam-ulaman.

Antara ikan masin yang paling diminati ialah ikan terubuk, ikan sepat, ikan kapak dan ikan kembong. Selalunya kalau makan ikan masin, lada merah atau lada hijau, bawang dan limau menjadi sahabat sejati bagi menambah keenakkan ikan masin. Terliur pula rasanya.

Ikan terubuk paling digemari kerana rasanya yang lemak-lemak masin. Selain digoreng, ikan terubuk masin juga sedap bila dikukus dan diperah dengan limau serta ditambah lada dan bawang hiris. Pasti terangkat!

Gambar ikan masin yang ada di atas ini sebenarnya diambil semasa pergi ke Kampung Tanjung Balang di Pulau Tinggi. Kebanyakan penduduk di kampung ini membuat ikan masin sendiri sama ada untuk dijual atau sebaliknya dijadikan lauk seharian.

Selamat Datang ke Pulau Tinggi. Kali pertama menjejakkan kali di Pulau Tinggi ini terasa segar dan tenang fikiran bila memandang kebiruan air laut dan kehijauan pepohon yang melitupi gunung yang ada di pulau ini.

Sebaik sahaja memasuki kawasan perkampungan terpandang ikan-ikan masin yang sedang dijemur oleh penduduk di kampung tersebut.

Walaupun terdapat 19 buah kampung di Pulau Tinggi tersebut tetapi penduduknya tidak begitu ramai tetapi cukup untuk memeriahkan majlis-majlis yang diadakan di pulau tersebut. Ramai di antara penduduk tersebut telah berhijrah atau dengan perkataan lain yang sering diucapkan oleh mereka ialah "dah ramai naik darat".

Aktiviti memancing dan menangkap ikan merupakan aktiviti utama di pulau ini selain pelancongan. Semenjak berkenalan dengan Pulau Tinggi maka sedikit sebanyak nama-nama ikan seperti Ikan Pinang, Ikan Asso, Ikan Tanda (entah betul ke tidak ejaannya)dan sebagainya sering bermain dibibir. Ikan-ikan inilah juga yang sering dijadikan ikan masin.
Ikan-iakn yang disebutkan di atas memang sentiasa mudah diperolehi di Pulau Tinggi ini dan kepada kaki pancing, semestinya tidak akan kecewa apabila pergi memancing di pulau ini. Kalau balik tidak akan pernah dengan tangan kosong. Inilah anugerah dan rezeki yang dikurniakan oleh yang ESA kepada umatnya untuk manfaat bersama. Syukur Alhamdulillah.

Thursday, May 5, 2011

LAYAR KEHIDUPAN




Kita impikan kehidupan

agar sentiasa melayari

air yang tenang

kita doakan ketenangan

agar ianya berpanjangan

berkekalan kesudahannya

hingga akhir kafas kita

namun tatkala pelayaran itu

badai pasti datang mengocak

beralunkan ombak berduri

menjelmakan buih-buih permasalahan

bertempurlah dengannya

mungkin tewas dan akur

lantas menjenguklah kemuraman

memungkinkan kemusnahan

mungkin jua akan tersenyum lebar

bila kemenangan berada di sisi

natijah apa sekali pun

tetaplah bersyukur akan takdir

yang telah ditentukan olehNYA



oleh : Swakey Mey 05.05.2011